churpchurp

26 March 2011

Janji Yang kita Lupakan

Kita sering berjanji pada tuhan tetapi adakah kita menunaikannya. Kita menabur bermacam-macam janji agar impian kita tercapai. Di waktu susah kita berjanji, kalau aku banyak duit / harta nanti aku akan bersedekah pada orang yang memerlukan. Tapi bila kita ada duit yang banyak kita menjadi tamak dan keberatan untuk menunaikan janji. Kita merasakan bahawa apa yang kita dapat adalah hasil usaha sendiri.


Ada juga yang memohon keampunan dengan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Namun apabila diuji dia masih lagi tewas sedangkan janjinya bertentangan sama sekali. Ternyata sewaktu melakukan dosa dia lupa pada janji.

Pada dasarnya semua yang diberikan kepada manusia sama ada baik atau buruk adalah ujian. Tapi ternyata hanya mereka yang ditimpa keburukan saja yang merasa diuji, sementara yang diberi kebaikan merasa dikasihi. Padahal boleh jadi yang ditimpa keburukan itu lebih dikasihi ALLAH. 

"Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan." (Surah Al-Anbiyaa', ayat 35)

Nabi Sulaiman diuji dengan harta yang banyak, tapi dia sedar bahawa harta yang dimilikinya adalah ujian dari Allah S.W.T. 

"Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya." (Surah An-Naml, ayat 40)

Salah satu contoh ujian Allah kepada makhluk yang dikasihinya adalah ujian ke atas nabi Ayyub. Bandingkanlah dengan ujian yang kita hadapi. 

Nabi Ayyub diuji dengan pelbagai penderitaan iaitu kemiskinan dan sakit yang tidak sembuh. Tetapi ia berjaya menghadapi ujian itu karena kesabaran dan tawakalnya kepada Allah. Ketika isterinya mengusulkan kepadanya agar minta kepada Allah supaya penyakitnya sembuh, ia berkata, "Aku malu kepada Allah. Bertahun-tahun aku sihat dan kaya, sementara baru beberapa saat saja aku sakit dan jatuh miskin."

Apa yang penting di sini ialah kita perlu sentiasa berdoa dengan bersungguh-sungguh. Ambillah iktibar daripada pengajaran masa lalu. Bertaubatlah dan berazam tidak akan mengulangi kesilapan yang lalu dan berusaha menambahkan amalan di dunia sebagai bekal di hari pengadilan. Ingatlah tidak diciptakan manusia melainkan hanya untuk beribadat kepada Allah.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...