Al-Imam Busiri di dalam Burdahnya yang masyhur ada menyebutkan, “Nafsu bak seorang anak kecil, jika dibiarkan menyusu, dia kan membesar dalam keadaan ingin menyusu sahaja, tetapi jika engkau cuba mencerai susukan dia, akan terputus keinginannya pada susu tersebut.”
Tamsilan Imam Busiri ini ana selalu bawakan. Cuba perhatikan apabila seorang ibu ingin mencerai susukan anaknya. Tentu sekali si anak meronta dan menangis tak henti. Meminta-minta supaya disusukan oleh si ibu. Akan tetapi, berapa lamakah agaknya tangisan itu berterusan? Apabila berhenti dari menangis, lama kelamaan, si bayi sudah tidak teringin kepada susu ibunya. Tenanglah dia.
Begitu juga anak kecil yang inginkan sesuatu dari kedai. Sejenis mainan contohnya. Menangis meronta meminta dari ayahnya mohon dibelikan mainan tersebut. Jika si ayah berkeras tidak mahu membeli, akhirnya diam juga si anak, bila diketahui tangisannya takkan berhasil. Tenanglah dia.
Nafsu kita juga begitu. Perlu ditarbiah. Mesti dididik. Patut diajar bahawa kita takkan mengikuti sahaja kehendaknya, takkan tunduk patuh kepada permintaannya. Engkau makhluk Allah yang dicipta untuk membantu aku mencapai tahap yang mulia, bukan dicipta untuk aku mengikut perintah engkau. Tentu sekali susah mulanya.
Hendak bangun di awal pagi yang dingin, ketika manusia lain nyenyak dibuai mimpi. Hendak meninggalkan sesuatu yang seronok dilakukan untuk solat contohnya. Hendak meninggalkan tabiat bermesra dengan manusia lawan jantina. Hendak meninggalkan keseronokan dunia, untuk mencari keredhaan Allah. Tentu memberontak sungguh nafsu ini. Meronta-ronta memohon kita mengikuti kehendaknya.
Mujahadahlah. Usahalah sedayanya agar dilawan juga nafsu itu. Mohonlah bantuan Allah agar mendapat kejayaan menundukkannya. Sukar sekali bukan? Tentu sukar mulanya. Akan tetapi percayalah, jika nafsu yang meronta-ronta itu kita tidak hiraukan, kehendaknya tidak dilayan, hanya kerana Allah, lama kelamaan nafsu kita kan tenang jua akhirnya. Bangun di tengah malam bertambah seronok. Menanti waktu solat bak menanti kekasih yang akan datang. Tidak bermesra dengan jantina yang lain (yang tidak halal ya), tidak terasa apa pun kurangnya. menghayati Al-Quran bergetar hati. Membaca kitab ilmiah terasa indah. Kerana ketika itu nafsu kita tenang bak anak kecil tadi. Moga Allah kurniakan kita hati yang tenang itu.
Habib Ali menceritakan perihal nafsu dan hikmahnya. Mutiara kata yang terbit dari beliau benar-benar menyejukkan hati ini. Katanya, ada tiga hikmah utama, nafsu disuburkan dalam jiwa manusia.
1) Istimrar (kesinambungan)
2) Isti’nas (kerinduan dan keinginan kepada sesuatu)
3) Ba’is lilhimam (faktor pencetus kepada kekuatan)
Manusia memerlukan makanan untuk kesinambungan nyawanya. Memerlukan perkahwinan untuk kesinambungan spesis manusia. Usah disalahkan nafsu. Tanpa nafsu, tidak ada manusia yang ingin berkahwin. Manusia juga perlukan nafsu makan faktor penguat untuk berusaha mencari rezeki. Manusia juga memerlukan nafsu perkahwinan sebagai pencetus untuk berusaha mendapatkannya, dan memperbaiki kedudukan diri. Begitu jualah pada setiap jenis nafsu. Hikmah pertama dan ketiga ini mudah dikecap oleh fikiran yang terbuka dan hati yang beriman.
Namun apa yang ana tertarik adalah pada huraian hikmah kedua, iaitu isti’nas. Habib Ali memberikan contoh, seorang anak kecil yang ditunjukkan gambar sebuah basikal, dan dijanjikan untuknya sebuah basikal oleh si ayah jika belajar bersungguh-sungguh. Tentu sekali si anak tadi, sudah merasa nikmat melihat gambar tersebut, dan sudah bernafsu untuk mendapatkannya. Namun nikmat yang sebenar adalah apabila dia benar-benar mendapatkan basikal itu daripada si ayah.
Begitu jualah kita di dunia ini. Apabila kita bernafsu untuk makan, jadikanlah makanan yang kita nikmati itu mengingatkan dan menguatkan pula keinginan kita untuk mendapatkan makanan yang jauh lebih lazat di Syurga. Anggur yang dimakan, susu yang diminum, takkan sama di dunia dan di akhirat. Setiap biji anggur yang kita nikmati di dunia, cuba kita bayangkan pula nikmat yang jauh lebih besar di Syurga, yang mana nikmatnya tidak ada mata yang mampu menggambarkannya, tidak ada telinga yang mampu mengecapnya dan tidak terlintas di hati manusia di dunia.
Nafsu perkahwinan, di dunia, sewajarnya mengingatkan kita pula akan perkahwinan di akhirat. Tak kira anda berkahwin dengan seorang wanita mahupun berpoligami di dunia sementara ini, jadikan ia penguat untuk mendapatkan Syurga Firdaus. Usahakanlah agar perkahwinan itu mampu menguatkan diri agar merindui akhirat.
Nafsu mendapatkan pangkat dan kedudukan di dunia, patut mengingatkan kita agar merindui kedudukan di sisi Allah di dalam Syurga. Kedudukan yang tiada taranya. Tentu sekali nafsu yang terbaik adalah apabila mengharapkan kedudukan (manzilah) di sisi Allah ketika di dalam dunai ini lagi. Bak, sebuah Hadis Qudsi, apabila kita menyebut nama Allah dalam satu kumpulan, Allah akan menyebut nama kita di dalam perkumpulan yang jauh lebih baik daripada perkumpulan kita itu. Bukankah itu satu kedudukan yang kita ingin kecap di dunia ini? Namun itu semua sepatutnya menyebabkan kita lebih merindui nikmat kedudukan di dalam Syurga. Khususnya, nikmat yang tidak terbanding apabila dianugerahkan Allah melihat kepada-Nya di dalam Syurga nanti. Segala nikmat di dunia ini akan terasa remeh malah tidak berharga, jika kita mendapat nikmat Allah di Syurga-Nya.
Keinginan yang dikecap dengan nikmat mendapat doa yang mustajab pun takkan sama dengan nikmat di syurga. Malahan nikmat beribadat di tengah malam juga (seperti mana kalam para salafussoleh, nikmat beribadat di tengah malam adalah nikmat teragung di dunia ini), tidak dapat mengalahkan nikmat kedudukan yang tinggi di sisi Allah Ta’ala di Syurga nanti.
Moga setiap nafsu kita di dunia ini dapat menguatkan lagi keinginan kita untuk mendapatkan yang lebih baik lagi di akhirat kelak. Moga Allah memasukkan kita dalam golongan yang mendapat nikmat di atas nikmat di dalam Syurga-Nya nanti. Amiin.
No comments:
Post a Comment