كل نفس ذا يقه الموت
Alangkah beruntungnya jika kita dapat mengetahui bila ajal kita. Dapatlah kita bersedia dengan beribadah sebaik mungkin. Namun kita takkan pernah tahu dekatnya ajal itu sehingga ajal datang kepada kita.
Ingatlah semua bahawa ajal akan datang tak mengira usia. Pada hari ini kita boleh lihat seorang ayah sembahyangkan jenazah anaknya dan mungkin seorang datuk sembahyangkan jenazah cucunya. Inilah bukti ajal datang tanpa mengenal usia manusia. Oleh yang demikian marilah sama-sama kita bersyukur atas nikmat usia yang diberikan pada kita.
Di kesempatan ini ingin saya berkongsi satu cerita yang bertajuk ‘Ku Tahu Ajalku’.
Pada satu malam, seorang lelaki yang baik telah bermimpi aneh. Di dalam mimpi itu dia berjumpa seorang lelaki tua. Lelaki tua itu bercerita secara teliti mengenai masa depan dan perjalanan hidupnya. Mimpi itu juga menunjukkan bagaimana dia berjumpa jodoh sehinggalah ke hari terakhir dalam hidupnya.
Keesokan harinya apabila dia bangun dia mula ragu-ragu tentang mimpi itu. Namun dia mendapati satu kopiah putih sama seperti mana yang orang tua beri dalam mimpinya berada di sisinya. Kopiah itu membuat dia keliru untuk mempercayai mimpi itu atau tidak.
Dia pun menceritakan perihal mimpi itu kepada kawan baiknya. Kawannya itu ialah seorang perempuan yang akan menjadi isterinya mengikut mimpi itu. Pada mulanya dia hanya ingin mengetahui pendapat perempuan itu sama ada mimpi itu benar atau mainan tidur sahaja. Tapi si perempuan itu pula meluahkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan si lelaki itu.
Sebulan kemudian mereka pun berkahwin tetapi si perempuan itu tak mengetahui lagi mengenai hari si lelaki itu. Seperkara lagi yang dirahsiakan ialah mengenai kopiah putih itu. Orang tua di dalam mimpi itu berpesan supaya dia menjaga kopiah putih itu dengan baik dan jangan sampai hilang.
Tahun berikutnya perniagaan si lelaki itu semakin maju sama seperti mimpinya. Dia pun semakin yakin bahaawa mimpi itu sebagai petunjuk untuknya di mana dalam mimpi itu ajalnya akan sampai ketika usianya 37 tahun. Dia pun cuba untuk mengikut kata-kata si tua di dalam mimpinya dulu. Kini dia semakin banyak memberi pertolongan kepada orang yang memerlukan. Dia juga semakin banyak beramal sebagai persediaan untuk mati nanti. Namun dia tetap merahsiakan perkara ini daripada isterinya.
Pada mulanya si isteri tidak mengesyaki apa-apa. Namun pada tahun yang terakhir si isteri mula hairan dengan sikap suaminya yang sering berkata “Jika saya mati nanti, awak jagalah diri baik-baik”. Dia juga hairan si suami sentiasa memakai kopiah putih itu walaupun sudah lusuh dan kelihatan buruk. Pernah juga dia meminta suaminya membeli kopiah yang baru tetapi ditolak.
Perasaan ingin tahu si isteri terhadap perubahan sikap suaminya semakin tinggi. Dia mencuba pelbagai cara untuk mengetahui sebab perubahan sikap itu setelah suaminya tidak menjawab soalan-saoalan yang diajukan. Akhirnya dia membuat keputusan untuk menyorokkan kopiah putih suaminya sehinggalah suaminya menceritakan semuanya.
Selepas sehari tanpa kopiah putih itu, lelaki itu pun jatuh sakit secara mengejut. Dalam keadaan yang lemah, dia pun memanggil isterinya. Dengan senyuman di wajahnya dia memandang isterinya seraya berkata, “Ku tahu ajalku, dan ia semakin hampir". Lelaki itu menambah, “Dan ajal manusia itu tidak akan dilewatkan mahupun diawalkan walau sesaat.
Mengapa kau tersenyum sedang kau sedang sakit wahai suamiku? Adakah kau akan kembali sihat jika ku pulangkan kopiah putih itu?” Tanya si isteri. “Aku tersenyum kerana beruntung dapat mengetahui ajalku. Dan bukanlah kopiah itu penyebab sakitku ini. Kopiah itu hanyalah satu peringatan kepadaku supaya amalku sentiasa ditambah dari sehari ke sehari”.
Si isteri sangat sedih mendengar kata-kata suaminya, “Adakah aku akan ditinggalkan keseorangan?” Jawab lelaki itu kepada isterinya yang disayangi, “Janganlah kau bersedih kerana aku dikembalikan kepada yang menciptakanku. Tiada apa yang menyedihkanku kerana aku telah bersedia untuk menghadapi hari ini. Semoga Allah merahmatiku, merahmati dirimu, dan merahmati semua umat manusia”.
Si isteri bertanya, “Wahai suamiku, apakah yang perlu aku lakukan jika kau sudah tiada?” Lelaki itu menjawab, “Berbuatlah kau seperti apa yang ku lakukan yakni sesuatu yang patut dilakukan oleh semua. Siapkanlah dirimu untuk menempuh hari di mana berpisahnya roh dari jasad. Janganlah kau mengejar apa-apa di dunia ini kerana yang dihitung hanyalah amal baikmu".
Pada malam itu si isteri tertidur di sisi suaminya. Lelaki itu menghembuskan nafasnya yang terakhir sewaktu sedang tidur. Isterinya sangat terharu dengan pesanan yang ditinggalkan oleh suami yang sangat disayangi itu. Apa yang penting baginya ialah persiapan dirinya untuk menghadapi hari di mana berpisahnya roh dari jasad.
Begitulah apa yang kita semua patut lakukan. Sentiasalah kita sama-sama mengingati mati. Walaupun tidak mengetahui bila ajal kita, tidak patut untuk kita berfikir bahawa ianya masih jauh. Ingatlah kita tidak akan tahu dekatnya ajal itu sehinggalah ia sampai pada kita.
Semoga kita semua mendapat kesudahan yang baik di hujung hayat nanti. Amin
No comments:
Post a Comment