churpchurp

18 August 2010

Dari Mata Turun ke Hati


Allah mengeluarkanmu dari perut ibumu tanpa mengetahui sesuatu apapun, dan Dia memberimu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur. (Surat An-Nahl: 78)


Hari ini saya ingin mengajak semua untuk berfikir mengenai salah satu deria yang ada pada kita. Deria yang dimaksudkan ialah mata. Sudah tentu mata menjadi antara deria yang paling berharga buat kita. Cuba bayangkan hidup kita tanpa dapat melihat, semestinya kita tidak mengenal warna. Oleh yang demikian, kita patut bersyukur kepada Allah dengan nikmat yang dipinjamkan ini.


Proses penglihatan terjadi melalui cara yang sangat canggih. Paket-paket cahaya (foton) yang melintas dari objek ke mata melewati lensa di bagian depan mata. Paket-paket cahaya ini terpecah-pecah dan jatuh terbalik pada retina di bagian belakang mata.

Di sini, cahaya tersebut diubah menjadi signal-signal, kemudian dikirimkan oleh sel-sel saraf ke bintik kecil yang disebut pusat penglihatan di bagian belakang otak. Signal ini diterjemahkan sebagai sebuah imej setelah melalui serangkaian proses. Tindakan melihat sebenarnya terjadi dalam bintik kecil ini, yang merupakan tempat gelap pekat dan terisolasi total dari cahaya. Sebenarnya kita melihat efek impuls yang mencapai mata dan muncul di dalam otak setelah cahaya diubah menjadi signal. Jadi ketika kita mengatakan “kita melihat” sebenarnya kita sedang mengamati signal-signal di dalam otak kita.
Jadi bagaimana pula yang dikatakan 'dari mata turun ke hati'. Bukankah sebenarnya 'dari mata naik ke otak'. Pada kali ini, ingin saya kongsi bersama semua bahawa kita akan menafsirkan apa-apa imej yang dilihat melalui otak. Persoalannya, mengapa melalui otak? Proses mata melihat ini secara tidak langsung memberitahu kita bahawa kita hendaklah berfikir mengenai apa yang kita lihat.
Mari kita fikirkan apa yang telah kita lihat. Apabila kita menjenguk ke luar tingkap, alam semula jadilah yang dapat kita saksikan. Jika kita mendongak ke langit, langit terbentang luas sejauh mata memandang. Semua ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah bukti kekuasaan Allah yang Maha Esa. Bagaimana pula apabila kita melihat orang lain? Persoalan inilah yang ingin saya kongsi untuk 'post' kali ini.

Sewaktu kita melihat setiap orang, secara automatiknya kita akan berfikir tentang orang itu. Namun bagi orang yang tidak kita kenali ataupun yang tidak menarik perhatian kita, kemungkinan besar kita tidak akan menghiraukannya. Hal yang sebaliknya berlaku apabila melihat orang kita kenali. Kita akan berfikir tentang perkara yang paling menonjol (berbeza bagi setiap orang) mengenai individu tersebut.

Ketika melihat seseorang, secara tidak langsung kita akan menilai orang tersebut. Di dalam diri kita akan melabel orang itu melalui pandangan kita sendiri. Perkara-perkara yang mempengaruhi pandangan kita termasuklah emosi kita pada waktu itu dan pengalaman kita mengenai orang itu. Sebagai contoh orang itu akan kita label sebagai 'baik' jika emosi dan pengalaman kita tentang orang itu mengatakan yang dia adalah seorang yang 'baik'. begitu juga hal yang sebaliknya.

Namun apa yang perlu kita sedar di sini ialah penilaian kita terhadap seseorang adalah berbeza dengan pendapat dan pandangan orang lain. Hal ini terjadi kerana mungkin kita mengetahui sesuatu mengenai individu itu di mana tiada orang lain yang tahu; atau ada sesuatu mengenai individu itu yang kita tidak tahu tetapi orang lain mengetahuinya. Kepentingan perbezaan ini ialah untuk memberitahu kita bahawa tidak mungkin kita mengetahui semua perkara di dunia ini dan sesetengah perkara lebih baik dirahsiakan berbanding diketahui oleh orang lain.

Di samping perbezaan yang berlaku, ada satu lagi persoalan yang timbul iaitu pandangan siapakah yang betul? Telah saya katakan tadi bahawa penilaian kita terhadap seseorang adalah berbeza dengan pendapat dan pandangan orang lain. Jadi kita tidak selalunya betul, dan kita juga tidak semestinya salah. Perkara utama yang menjadi tunjang dalam situasi ini ialah adakah kita menerima pandangan dan pendapat orang lain?

Semua ini bergantung kepada tuan punya diri itu sendiri. Sedarlah kita semua bahawa kebanyakan manusia sentiasa merasakan diri sendiri adalah yang paling betul. Kadang kala kita sendiri tidak mahu mengakui kesalahan diri kerana sifat ego yang ada. Kepentingannya di sini, perkara yang terbaik bagi kita ialah benar-benar memahami sesuatu perkara dengan berfikir panjang dan tidak menolak pandangan dan pendapat orang lain bulat-bulat.

Marilah sama-sama kita membetulkan diri kita dari aspek cara kita memandang dan menilai seseorang. Ingatlah kita tidak semestinya betul dan bersedialah untuk menerima pandangan dan pendapat orang lain. Satu lagi perkara yang penting bagi kita untuk tidak bercakap tentang seseorang atau sesuatu yang kita tidak arif tentangnya. Marilah sama-sama kita perbaiki diri untuk mengelakkan perselisihan faham yang tidak sepatutnya berlaku.


2 comments:

  1. aku lak..nak cri deria keenam..cmne yerk?:P

    ReplyDelete
  2. kalo nk cri deria ke-6 kna la bljar ilmu pancaindera dr indonesia...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...