churpchurp

31 July 2010



2. Fikir positif elak stress

Segala yang kita hadapi bukanlah yang kita kehendaki. Perkataan 'think positive' bukan sekadar galakan atau dorongan lisan tetapi mempunyai kuasa (untuk mengubah) di sebalik itu.
Apabila individu memutuskan untuk sentiasa berfikiran positif, individu itu telah membina satu 'attitude' yang sangat baik secara tidak langsung. Dalam apa jua situasi yang berlaku, berfikir positif dapat menyelamatkan kita. Kita akan sentiasa berada dalam keadaan yang menguntungkan.
Sikap berfikir positif ini mempunyai satu rahsia. Berfikir positif mengajak kita berfikir untuk mencari sesuatu yang baik dalam apa jua situasi. Sekali gus mengelakkan kita daripada bersangka buruk atau membuat tanggapan negatif. Jadi perkara yang kita perlu lakukan hanyalah menyedari bahawa setiap yang berlaku itu ada kebaikan daripada sudut yang lain sama ada kita sedari atau tidak. Ambillah masa untuk berfikir dan mencari apakah kebaikan itu.
Hanya dengan berfikir positif, kita dapat menyelesaikan sesuatu dalam keadaan diri yang waras. Kita hanya perlu percaya bahawa jika kita memberi respon positif terhadap sesuatu situasi, maka 'outcome' atau perkara yang akan berlaku selepas itu juga akan menjadi baik. Cuba bayangkan kita adalah ayah dalam situasi di bawah:
'Di waktu pagi, sewaktu di meja makan sebelum semua orang keluar bekerja ataupun ke sekolah. Di meja makan, si anak secara tak sengaja menumpahkan minuman ke pakaian ayah yang telah bersiap untuk ke pejabat.'
Apakah tindakan anda? Adakah anda akan memarahi si anak? Perkara yang paling penting di sini ialah respon si ayah terhadap situasi yang berlaku itu. Begitulah juga di dalam kehidupan ini. Perkara yang penting ialah bagaimana tindak balas kita terhadap sesuatu yang berlaku. Respon kita lah yang menentukan perkara selepas itu dan pengaruh yang terbesar ialah emosi. Mari kita lihat apa yang akan berlaku jika si anak dimarahi;
  • Emosi anak akan terganggu setelah dimarahi menyebabkan dia tidak dapat menumpukan perhatian di dalam kelas di sekolah. Proses pembelajaran si anak terganggu.
  • Anak akan berasa sedih dan mengambil masa untuk pulih dari segi emosi sebelum kembali menjadi normal. Jika emosinya lambat pulih, maka banyaklah perkara yang tidak dapat dilakukan dengan betul.
  • Si ayah juga akan terganggu emosinya. Ingat bahawa si ayah perlu memandu untuk pergi ke pejabat. Jadi dengan perasaan yang marah semestinya dia tidak menumpukan perhatian semasa memandu. Ini sekali gus membahayakan keselamatan diri dan orang lain.
  • Si ayah juga mungkin terlambat ke tempat kerja.
  • Di pejabat pula, si ayah akan berhadapan dengan majikan dan rakan-rakan. Kerja-kerja di pejabat semestinya akan menjadi tidak teratur dan si ayah berhadapan dengan risiko dimarahi oleh majikannya.
Bayangkan betapa banyaknya masalah yang mungkin timbul akibat daripada tindakan si ayah memarahi si anak tadi. Namun demikian, mari kita lihat di sudut yang lain pula. Jika si ayah berfikir dahulu sebelum mengambil sesuatu tindakan. Mari kita sama-sama fikirkan alternatif penyelesaian yang ada supaya perkara yang berlaku selepas itu tidak sama seperti perkara yang di atas.
Sebagai contoh, si ayah berfikir sebentar dan mengambil keputusan untuk tidak memarahi anaknya. Dia mengambil sedikit masa untuk menukar pakaian lain dan meneruskan sarapan dan rutin-rutin yang lain seperti biasa. Maka si anak tidak akan mengalami masalah di sekolah, si ayah pula dapat bekerja seperti biasa. Perhatikan dengan teliti betapa besar perbezaannya daripada sesuatu tindakan.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Bukanlah orang yang kuat itu orang yang dapat mengalahkan orang lain dengan kekuatannya. Sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang mengawal dirinya ketika dalam kemarahan.

Ingatlah bahawa perkara yang telah berlaku adalah di luar kawalan kita dan perkara yang akan berlaku semuanya berpunca daripada tindakan kita. Sepuluh peratus perkara berlaku tanpa kita jangkakan dan 90 peratus yang lain berlaku disebabkan tindakan ataupun respon kita terhadap sepuluh peratus perkara tadi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...